Manja Malinja

Assalamualaikum rakan-rakan pengunjung Teratak Manja Malinja. Bersua lagi kita di entri baru yang akan bercerita kisah sehari dalam hidup saya. Mohon ampun dan maaf andai lama sudah saya tidak bersuara kerana jari jemari ini tidak mampu menari seiring dengan minda dan jiwa.

Alhamdulillah, semalam saya berpeluang mengikuti satu persidangan penting yang melibatkan insan-insan perggerak bidang berkenaan dari seluruh Malaysia. Saya tidak akan menyentuh persidangan apa, di mana atau bidang apa apatah lagi penganjurnya siapa tetapi cukuplah kita mengambil iktibar atas apa-apa yang berlaku.


Kisah 1: Sesat

Saya bersama rakan sebenarnya telah sampai di sekitar kawasan berkenaan kira-kira setengah jam awal. Namun begitu, kekurangan papan tanda penunjuk arah menyebabkan kami berpusing-pusing dan membuang masa di tengah jalan yang hanya sekitar satu hingga dua kilometer radius...

Penunjuk arah mungkin hanya perkara kecil (beberapa helai kertas bercetak yang diletak sepanjang jalan ke tempat tujuan) namun boleh memudahkan pengunjung atau tetamu.

Pengajaran pentingnya, apa-apa jua perkara yang berlaku...sandarkan hanya pada Allah selepas kita berikhtiar. Mungkin jua kita ditakdirkan terlambat untuk mengelak musibah atau Allah ingin perlihatkan kita sesuatu yang perlu dilihat.

Gambar hiasan. Sumber Pakcik Google


Kisah 2: Kualiti vs Kebersihan

Pembentangan kertas kerja berlangsung dari pagi sehingga ke petang. Sebelah malamnya diadakan makan malam untuk meraikan peserta yang hadir di salah sebuah hotel yang berbintang bintang...

Saya pasti pengajur telah cuba menjadi hos terbaik dan kami meletakkan ekpektasi yang tinggi kepada majlis berkenaan. Namun Allah jua menunjukkan sesuatu yang memberi ibrah bermakna buat saya iaitu... apa sahaja yang manusia cuba jadikan sempurna tetap sahaja ada kekurangan dan sandarkanlah kepada Allah apa sahaja yang kita lakukan.

Terdapat peralatan makanan di meja kami yang tidak dicuci dengan sempurna dan terdapat sisa makanan yang terlekat di peralatan berkenaan. Dengan reputasi hotel berkenaan, kebersihan sudah pastinya perkara asas yang penting dalam arena hospitaliti dan perhotelan.

Terdetik di hati saya bahawa setiap modal insan di organisasi sangat penting dalam memastikan perjalanan operasi lancar pada tahap terbaik. Kepincangan seorang pekerja sahaja sudah cukup memeningkan pengurusan untuk memacu operasi organisasi dengan efisyen.

Gambar Hiasan. Kredit Pakcik Google.

Kisah 3: Karenah Pengguna Lebuhraya

Alhamdulillah sekali lagi kerana saya ketika kisah ini terjadi telahpun memandu kereta menuju rumah keluarga yang dirindu...

Terima kasih kepada salah seorang pengguna lebuh raya yang telah bersungguh-sungguh menegur saya yang terlupa membuka lampu kereta dan menutup lampu dalam kereta setelah memulakan perjalanan selepas mengisi minyak... penat sangat agaknya sehingga lampu kereta yang sepatutnya dibuka lupa nak buka dan lampu yang sepatutnya ditutup dibiarkan menerangi ruang dalam kereta.

Terima kasih juga buat pemandu kenderaan berat dan pemandu bas yang memandu dengan berhemah pada malam itu.

Tidak kurangnya saya mendoakan kesedaran dan hidayah buat pemandu yang bermain-main lampu dengan saya kerana saya memandu dengan kelajuan sepatutnya yang tidak dapat memberi laluan buat anda yang bernafsu ala-ala pemadu F1 dan pemandu bas yang memandu laju serta memacung jalan di lorong tengah ala-ala perlumbaan F1. Terasa bahayanya di lebuhraya ini walaupun kami membayar tol mengikut jarak perjalanan.

Sekali lagi Allah jua menjadi sandaran buat kita dan melindungi kita walaupun saya sedar pada malam tadi saya dikelilingi bahaya di ketiga-tiga lorong lebuhraya.

Gambar Hiasan. Sumber Pakcik Google.

Wallahu a'lam


Manja Malinja
Tanjong Malim


0 Responses